Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
2010/03/05


“ADA ke orang yang mahu membaca kisah orang buta seperti Kak Jah ni? Seganlah, nanti disalah erti oleh masyarakat bahawa kami mahu meraih simpati pula,” demikian kata pemilik dua pusat urutan refleksologi, Siti Hadijah Abu Bakar, 35, ketika dihubungi penulis, baru-baru ini.

MAHIR…selain urutan tradisional, dia turut mahir dalam urutan refleksologi.  Selepas diterangkan tujuannya, lantas waktu ditetapkan untuk kami bertemu di Therapy Zone, pusat beli-belah Maju Junction di ibu negara dan pertemuan berkenaan turut disertai suaminya, Khairul Fauzi Zainudin, 37.

Orangnya begitu sederhana dan merendah diri, tetapi senyuman tidak pernah lekang daripada bibir wanita yang membahasakan dirinya dengan panggilan Kak Jah ini. Biarpun mempunyai masalah penglihatan sejak kecil (enam daripada lapan adik beradiknya mempunyai masalah penglihatan), tetapi wanita ini tetap cekal memburu impiannya bergelar usahawan berjaya suatu hari nanti.

Menurutnya, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di mengambil keputusan untuk menjalani latihan mengurut di Pusat Latihan Gurney (PLG) yang dikendalikan Persatuan bagi Orang Buta Malaysia. Selepas itu, dia menimba pengalaman dengan bekerja secara sambilan di beberapa pusat pusat mengurut di sekitar ‘Bandar Buta’, Brickfields selama hampir tiga tahun.

Kata Siti Hadijah, pada tahun ketiga kerja, perasaan untuk membuka pusat urut sendiri mula timbul kerana memikirkan sampai bila harus bekerja makan gaji dengan orang lain dan sudah tiba masanya untuk dia membuat sesuatu bagi meningkatkan lagi taraf hidupnya. Katanya, beberapa rakannya yang turut membuka pusat urut sendiri berjaya mengendalikannya dengan baik walaupun mereka cacat penglihatan.

“Kejayaan mereka bertahan dalam perniagaan itu mendorong saya memberanikan diri membuka pusat urut sendiri bersama seorang rakan di Ampang. “Tetapi disebabkan beberapa masalah, saya terpaksa menarik diri daripada perniagaan berkenaan dan mula mencari tapak baru.
“Alhamdulillah, ketika itu rezeki saya ada di stesen pengangkutan awam sebuah pusat beli-belah terkenal di kawasan Bukit Bintang. “Namun, tidak lama kemudian sekali lagi saya diuji berikutan pihak pengurusan bertindak menamatkan kontrak kedai kerana menerima tawaran lebih menarik daripada penyewa lain,” katanya yang mahir dalam urutan dan refleksologi. Ibu kepada dua anak perempuan berusia empat dan enam tahun ini berkata, dugaan itu tidak pernah sesekali mematahkan semangatnya untuk berjaya, malah keinginannya untuk mencapai sesuatu yang dapat dibanggakan semakin berkobar-kobar.

Pertemuan dengan seorang rakan lama, Hasidi Hassan, mendorong Siti Hadijah bersama dua lagi rakan kongsi iaitu Mohd Nasir Mohd dan suaminya melabur wang simpanan mereka bagi membuka pusat terapi di Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 2006. Ternyata, kelainan teknik urutan yang diperkenalkan menarik perhatian masyarakat dan boleh dikatakan dipenuhi pelanggan hampir setiap jam. Kejayaan itu mendorong Hadijah untuk membuka sebuah lagi pusat urut di Maju Junction dua tahun kemudian bersama rakan kongsi, Hasidi dan ia masih kekal beroperasi sehingga hari ini.
Ditanya mengenai kejayaan itu, Siti Hadijah menganggap semua itu adalah hasil kerjasama rakan kongsi, pekerja serta keluarga yang tidak pernah jemu memberi yang terbaik kepada perniagaan. Kata Siti Hadijah, biarpun Allah menguji dengan tidak memberinya peluang untuk melihat dengan sempurna, tetapi hatinya masih terang dan tidak pernah berputus asa dalam kehidupan. Dia yang mempunyai daya penglihatan kurang daripada 30 peratus berkata, keluarga bukan daripada golongan senang dan kesusahan itu mengajar dirinya supaya lebih cekal dalam mengharungi ujian yang mendatang.
“Sebagai orang kurang upaya (OKU), Kak Jah pernah merasai betapa susahnya untuk mencari pekerjaan di zaman yang serba moden hari ini. “Ia mendorong saya dan rakan kongsi untuk membantu rakan senasib dengan menawarkan pekerjaan sebagai tukang urut kepada mereka. “Alhamdulillah, sehingga hari ini, kami mempunyai 10 orang pekerja yang semuanya terdiri daripada OKU yang mempunyai masalah penglihatan.

“Kami membimbing mereka supaya dapat memahirkan diri dalam pelbagai teknik urutan terutama teknik tersendiri pusat urutan kami bagi membolehkan mereka membantu pelanggan,” katanya yang pernah mendalami ilmu urutan badan di Akademi China Chongzheng dan menjalani latihan jangka panjang di akademi urutan di Guangzhao, China.
Perkenalan biasa sebagai rakan ketika mengikuti latihan di PLG membibitkan perasaan cinta di hati Siti Khadijah dan suaminya. Selepas lapan tahun mengenali hati budi masing-masing, mereka mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan Khairul yang normal, tetapi buta selepas terbabit dalam kemalangan sewaktu perjalanan ke tempat kerja. Kerukunan rumah tangga mereka sejak sembilan tahun lalu turut diceriakan lagi dengan kehadiran dua cahaya mata perempuan berusia empat dan enam tahun.

Namun, memandangkan mereka tidak dapat melihat, kedua-dua anak itu terpaksa diserahkan kepada keluarga mentua untuk untuk dijaga sejak kecil. “Kami berasakan mereka lebih selamat dan dijaga sempurna oleh keluarga mentua disebabkan ibu sendiri (Enom Osman, 66) juga mempunyai masalah penglihatan.
“Memang sedih untuk berpisah daripada anak sendiri, tetapi memandangkan mereka masih kecil dan masih tidak dapat berdikari, kami terpaksa merelakan. “Untuk menghilangkan kerinduan, setiap dua minggu kami pasti akan pulang ke kampung untuk menjenguk mereka,” katanya. Biarpun hidup tanpa penglihatan sepenuhnya, Siti Hadijah masih mampu menguruskan rumah tangga dengan baik. Rutin hidupnya bermula seawal jam 5 pagi untuk bangun menyediakan sarapan sebelum bersiap ke tempat kerja.

Mengakui suaminya seorang yang tidak cerewet, Siti Hadijah memasak apa saja yang mudah kerana seawal jam 7 pagi, mereka perlu keluar dari rumahnya di Cheras ke pusat urut di ibu kota. “Saya bersyukur ditemukan suami yang bukan saja memahami, malah tidak jemu mendorong saya untuk terus berusaha dalam kerjaya ini. “Jika dulu saya sering tertanya-tanya kenapa Tuhan memberi ujian ini tetapi kini saya memahami bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah tersembunyi.

“Dapat melihat atau tidak bukan alasan kerana segalanya bergantung kepada usaha dan tekad kita. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya mengakhiri perbualan.

Khidmat urutan buat pengunjung

Ahad, 20 Disember 2009

SAINGAN Grand Final Karnival Futsal i-Metro 2009 yang berlangsung di Safira Sports Planet, Seberang Jaya, Pulau Pinang turut dimeriahkan dengan
kehadiran tukang urut cacat penglihatan yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur.

Kehadiran Hasidi Hassan yang berpengalaman 10 tahun dalam bidang urutan mendapat sambutan hangat daripada pengunjung yang membanjiri lokasi kejohanan.

Menawarkan urutan badan selama setengah jam berharga RM30 dan kaki, RM25, Hasidi mengalu-alukan kedatangan peserta yang ingin mencuba khidmat urutan yang ditawarkan.

Bekas pemain bola sepak yang mengalami catat penglihatan akibat kemalangan itu berkata, dia menggunakan kain sebagai lapisan ketika mengurut.

“Saya seorang bekas pemain bola sepak dan saya tahu keadaan pemain yang ada kalanya mengalami kecederaan.

Urutan ini sebenarnya dapat membantu memulihkan keadaan apabila dapat mengesan tempat-tempat tertentu dalam badan yang saling berkait,” katanya.

Advertisements